Part 1: Belajar & Menjaja di Waktu Pagi
Sekali lagi, aku menulis cerita ini tatkala hujan turun membasah bumi. Terasa tenang dan mendamaikan. Serasa lebih aman dan tenteram. Penulisanku lebih lancar dan teratur. Dan, sudah pasti didendangkan dengan sebuah lagu lama daripada penyanyi Yassin bertajuk ‘Rindu Padamu’. Akan tetapi, yang aku dengar adalah sebuah cover song daripada Helmi Badery. Bila diamati bait dan liriknya, boleh jadi ianya berkonsepkan kecintaan kepada Tuhan. Atau mungkin juga berkonsepkan kecintaan pada orang yang dicintai. Tergantung pada pemahaman dan penilaian seseorang. And..I keep on repeating this song! Tanpa sedar, huhu.
Berbalik kepada cerita zaman muda lagi naif..
Pada tahun 2001 di umur 7 tahun ketika itu, aku mula masuk sekolah darjah 1. Kami adik-beradik punyai satu rutin setiap pagi sebelum kaki melangkah ke sekolah. Dan, rutin pagi itu adalah setiap hari sehinggalah aku sekolah di menengah rendah. Memandangkan mak seorang peniaga kecil. Dan mak berniaga makanan, kami pun kena ikut turut serta. Jadi, seawal jam 5.30 pagi kami sudah bangkit daripada tidur yang panjang. Bersiap untuk ke sekolah dan sejurus itu menolong mak di dapur. Bagi mak pula, memang akan sentiasa bangun lebih awal daripada kami. Aku kira.. jam 3 pagi begitu mak dah mula memasak makanan untuk jualan. (kisah mak akanku ceritakan di ‘entry’ yang lain)
Setelah segala makanan untuk jualan sudah siap tersedia, jam 6.30 pagi kami sudah bersedia untuk keluar dari rumah. Pelbagai aneka kuih-muih dan nasi lemak sudah kami susun di dalam satu bakul besar. Sejurus itu, kami jinjing ke satu lokasi di deretan paling hadapan di sebuah rumah. Lokasinya tidaklah jauh mana. Anggaran jarak hanya 5 buah rumah. Untuk sampai ke deretan rumah paling hadapan itu, lokasinya dikira paling strategik saat itu. Asbabnya, di situlah penduduk taman dan pelajar sekolah rendah dan menengah yang lain di situ berkumpul menunggu bas sekolah. Kami bentangkan meja yang sudah tersedia mak tinggal di situ setiap hari. Lalu, kami susun segala macam makanan yang mak masak di atasnya. Maka, kami pun mula menjual untuk orang di sekitar itu. Itu antara pengalaman kerja pertama kali sebagai penjaja. Rutin ini berlangsung sehinggalah aku tingkatan tiga (tahun 2009 ketika itu).
Dan, apa yang mak buat ketika itu?
Tugas mak pula, membawa budak-budak taman untuk ke sekolah. Yakni teman-temanku semasa kecil yang tinggal berdekatan, dan satu tempat belajar juga. Berbekalkan sebuah kereta bewarna putih yang mak beli secara tunai dengan harga murah (tidak pasti jenama apa), itulah yang menjadi pengangkutan utama untuk kami menuju ke sekolah. Setiap hari, mak bawa 2 trip student sekolah yang jaraknya sekitar 6 kilometer pergi dan pulang. Dan kami adik-beradik trip kedua yang senantiasa menjadi mangsa hadir lambat ke sekolah. Kesudahannya, kami selalu didenda. Dan, aku pasti.. cikgu-cikgu di sana sudah lali dengan keadaan ketika itu.
Jadi, bila trip kedua mak memandu kereta untuk hantar kami ke sekolah, siapa pula yang menjaja? Haa…
Tidak mungkin adik-adik aku yang tidak bersekolah yang cuma berumur 5 tahun dan 3 tahun ketika itu. Kesudahannya, gerai kecil itu kami tinggalkan buat seketika waktu. Dan, mak pula yang ambil alih menjaja setelah urusannya selesai.
Apa akan ada makanan yang hilang atau dicuri, sekiranya ditinggalkan seketika?
Itu, aku tidak pasti. Tidak pernah kami kisah pula ketika itu. Mak pula, menjaja sehingga makanan habis terjual. Paling tidak, jam 10 pagi begitu makanan sudah habis. Agak laku keras atas asbab tiada orang lain yang membuka gerai sekitar itu.
Begitulah rutin kami hampir setiap hari di waktu pagi sebelum ke sekolah.
Bagi perspektif aku ketika itu (selayaknya seorang budak kecil lagi naif) tidaklah sukar mana hidup ini. Masih ada makanan terhidang dan sedia untuk dijamah setiap hari. Masih ada tempat tinggal untuk berteduh walaupun hanya menyewa cuma. Secukupnya, seadanya dan sederhana mungkin.
Tapi, bagi seorang bergelar ibu ?