Sejuk dan angin malam selepas hujan rahmat, membawa aku terfikir untuk ceritakan kisah-kisah yang berlaku dalam hidup aku. Sudah 29 tahun hidup di muka bumi bertuhan Allah S.W.T, sambil mendengar lagu berjudul ‘Lonely’ daripada Justin Bieber dan lagu ‘Unity‘ nyanyian dari Alan Walkers dan Sapphire. Aku cuba imbas kembali kenangan dulu merentas masa. Entah kenapa pula lagu-lagu sentimental begini yang berkumandang? Yang pasti aku menaip tanpa ada rasa sedih atau hiba sekarang ni.
Sejak arwah mak meninggal dua tahun lepas, aku kerap teringat dan imbas kembali memori lama bersama. Cumanya, memori itu hanya terpalit di ingatan yang masih dangkal dan cetek kerana keterbatasan sebagai seorang manusia. Dan, mungkin foto-foto lama yang mengingatkan kembali peristiwa dulu kala. Tapi, zaman sekarang teknologi pun dah canggih belaka. Semua memori disematkan sebagai video dan segala gambar boleh di upload atas talian dan tersimpan kemas di cloud tertentu.
Sejujurnya, zaman kanak-kanak sebelum memasuki umur 6 tahun adalah pada tahun 1994-2000, aku langsung tak ada sebarang ingatan tentang hidup aku. Tidak pasti untuk orang lain bagaimana? Siapa saja yang ingat zaman ni, kan?
Untuk ingatan sepintas angin lalu, aku hanya ingat pada umur aku 6 tahun. Pada malam hari, ketika mana kami sekeluarga enam beranak pindah ke Kuala Kangsar. Asalnya, arwah mak orang Perak. Kami berpindah dari Kedah kerana arwah abah pula orang Kedah. Tak pasti dari daerah mana. Mungkin Alor Setar, Sungai Petani, atau Pokok Sena. Itu aku tebak saja. Sebabnya, kebanyakan keluarga abah di daerah itu. Mengapa pindah? Aku pun tak ada jawapan untuk itu. Dan tidak pula aku bertanyakan soal ini pada mak atau abah ketika itu. Atau mungkin aku yang lupa.
Seusai saja sampai ke kampung di Kuala Kangsar, kami berpindah ke Pengkalan, Perak selepas seminggu di kampung tok dan opah. Dan terus menetap di sana sehinggalah sekarang. Pengkalan terlalu banyak di Perak. Yang pasti berdekatan Pusing atau Batu Gajah.
Selepas 3 hari di Pengkalan, yang aku ingat cuma arwah abah ketika itu nak bergerak ke mana aku pun tak pasti. Tidak pernah aku tanya. Kebetulan pada masa itu, kereta pula rosak. Aku dan tiga orang adik-beradik lelaki lah yang menolak kereta dari belakang but kereta walaupun masa itu kami masih kecik dan kerdil. Selepas peristiwa itu, apa-apa perkhabaran tentang arwah abah.. aku langsung tak ingat dek kerana menghilang tanpa khabar berita. Mungkin arwah mak tahu. Yang tinggal hanya mak, abang, aku dan dua adik. Terakhir ingatan aku pada abah adalah pada tahun 2002. Dua tahun selepas itu, abah datang kembali ketika umur aku menginjak 8 tahun.
Sekian saja kisah lalu pada ingatan yang masih dangkal ketika ini.