Okay, kali ni aku ceritakan pengalaman camping kali kedua, selama tiga hari dua malam. Aku kira, pengalaman kali ni lebih panjang dan dapat ilmu baru jika nak dibandingkan dengan pertama kali camping ke The Woods, Ulu Yam sebelumnya yang hanya semalaman cuma.
Satu festival untuk aktiviti-aktiviti luar dianjurkan oleh penganjur Locco, iaitu satu organisasi, komuniti pelancongan. Boleh ikuti offical instagram outdoorfestmy. Festival ni adalah buat kali kedua diadakan pada 16 hingga 18 Jun 2023. Berpusat di Resort Tasik Raban, Lenggong Perak yang sememangnya luas saujana mata memandang. Lebih-lebih lagi untuk para pencinta outdoor activities. Festival ni didukung oleh UNESCO dan Lenggong GeoPark. Ibaratnya, kawasan Lenggong ini sudah diiktirafkan sebagai pusat-pusat pelancangon dan selamat di Malaysia. Festival ini juga ditaja oleh pelbagai organisasi besar di Malaysia dan juga Indonesia. Penaja utama ialah Kahf, satu organisasi produk skincare khas datangnya dari Indonesia untuk kaum adam. Antara penaja lainnya adalah Hausboom, Boom+, Kembara, Anbot dan Canon. Lainnya, beberapa event partner and community sponsor turut berkerjasama dalam festival yang agak besar dan gah bagi aku. Bermula dari sini barulah aku dapat gambaran bagaimana nak sertai festival-festival sebegini. bukan sekadar mengisi waktu lapang semata, tetapi juga memberi banyak manafaat dan ilmu tentang survival mode kepada orang yang gemar buat aktiviti luar dan lasak.
Outdoor Festival
Itu baru cerita pasal penaja, rakan kongsi dan pihak-pihak yang terlibat dalam festival ni. Belum cerita lagi tentang apa yang menarik di sana. Pelbagai aktiviti, workshop, sharing session, music performance dan camping yang menarik. Antara contoh senarai program tahun 2023 yang padat dengan pelbagai program yang mungkin anda tertarik dan berminat untuk turut serta pada tahun 2024 nanti. Boleh rujuk seperti di bawah:
Activities
Workshops
- Camping (bayar asing)
- Bonfire & Bonding
- Stand Up Paddling
- ODF ride 2023
- Kayaking
- Bride Rappelling (bayar asing)
- Lake Zipline (bayar asing)
- Tree Climbing (bayar asing)
- Archery
- Hiking Bukit Kepala Gajah (bayar asing)
- Poundwithhanis
- Stretch & Flex
- Flatland Skimboarding
- Merentas Desa
- Kampung Touring
- 6 caves Expedition (bayar asing)
- Mini Amazon Cruise (bayar asing)
- Handmade Paracord
- Ultralite Hiking
- Rope & Tree Climbing
- Parang Care & Tips
- Kahfbro Jom Borak
- Bushcraft 5C
- Content Creator 101
- Camp Like a Pro
- Coffee Roast & Brew
- Water Safety
- Art of Healing
- Organic Soap Making
Sharing Session
Music & Performance
- Cerita Kedai Kopi
- Sembang Bawah Fly by Anbot
- Community Awareness
- Women & Outdoor
- Cycling Clinic
- RC Intro
- Climbing Talk
- Teman Lelaki
- Cisco
- Nami
- The Mirza
- Fireshow
- Didie Shazr
- Kamilla Akustika
- Busker by Hausboom
Sedikit sebanyak program yang diadakan untuk festival kali kedua ni, dan aku rasa sangatlah berbaloi dengan harga tiket masuk hanya RM120 seorang. Yang bertuahnya pada aku, sebab aku dapat sertai dengan tiket masuk percuma. Macam mana nak tiket percuma? Anda kena kerap join live penganjur atau sertai pertandingan yang diianjurkan oleh organisasi tersebut. Jika tidak dapat tiket secara percuma sekalipun, bagi aku sangatlah berbaloi untuk aktiviti sebegitu yang diijalankan sepanjang tiga hari dua malam. Di mana agak susah nak dapat di mana-mana. Kalau pergi ke kelas asas secara peribadi di luar, aku rasa lebih mahal harganya. Jadi, anjuran yang sebegini sangatlah memuaskan dan harapnya ada lagi tahun hadapan.
Pada hari pertama, selepas proses pendaftaran masuk, kami dapat tote beg yang mengandungi satu gelang atau band sebagai penanda anda adalah peserta untuk festival ini. Dan beberapa small gift yang agak lumayan dari penaja-penaja.
Dan ‘free flow’ produk minuman tajaan Hausboom sepanjang festival. Haa, berbaloi tak? boleh minum tanpa apa-apa bayaran dan seberapa banyak yang dimahukan.
Bagus juga ada tajaan seperti ini. Sekurang-kurangnya orang awam tahu tentangkewujudan produk-produk tempatan Malaysia. Dan aku pun baru tahu rupa-rupanya banyak juga produk-produk daripada Hausboom. Dari jenis minuman bergas, berkarbonat dan buaha-buahan. Rasa pun memang padu dan sedap sesuai untuk menghilangkan dahaga di waktu cuaca panas terik.
Kawasan Resort Tasik Raban ni memang cukup luas dan cantik. Bersaksikan jambatan Raja Muda Nazrin yang menjadi tonggak utama bandar Lenggong ini. Cukup dengan adanya akses pengangkutan shuttle van yang disediakan oleh penganjur dan mudah untuk ke sana dan ke mari. Jadi, perjalanan lebih mudah dan cepat.
Camping di Santuy Campsite
Selepas buat pendaftaran, kami terus ke kawasan campsite. Di festival ni ada dua tapak untuk camping yang dipanggil Santuy Campsite dan Sky Campsite. Bezanya Santuy Campsite, kena bawa khemah sendiri manakala untuk Sky Campsite, khemah dan segala peralatan sudah tersedia. Hanya datang bawa diri dan keperluan diri sahaja. Tapi, harganya jauh lebih tinggi dan mahal. Agak berbaloi bagi yang malas berfikir atau yang sibuk untuk membuat segala persiapan perkhemahan. Kedua adalah lokasinya berbeza. Jadi, aku dan seorang teman memilih Santuy Campsite. Kiranya ini adalah pengalaman kali kedua aku camping bersama teman rapat. Perkhemahan kali ini berserta dengan aktiviti-aktiviti outdoor yang membina dan menyeronokkan.
Pengalaman di Santuy Campsite agak mencabar. Dengan panas dan terik di hari pertama kami sampai. Bahangnya sungguh menusuk tepat ke kulit wajah. Pada pandangan aku, agak besar juga tapak perkhemahan yang berukuran 2.5 x 5.0 meter. Besar dan selesa untuk duo camping.
Pengalaman camping kali kedua ini, aku lebih yakin untuk pasang khemah sendiri dan peralatan memang dibeli khas untuk kegunaan sendiri. Tiada lagi sewa menyewa seperti pertama kali tempoh hari. Dan, kebanyakan waktu di hari pertama festival, kami lebih banyak borak panjang dan bersantai sehingga ke malam. Dan join beberapa aktiviti bonfire & bonding di sekitar tapak perkhemahan. Alhamdulillah, cuaca yang baik di hari pertama memudahkan perancangan kami. Antara kemudahan untuk camping kali ni adalah adanya plugpoint yang tersedia tidak jauh dari tapak perkhemahan dan agak mudah digunakan, tempat solat dan tandas yang berdekatan dan free flow ice. Cumanya, perjalanan hari kedua camping agak pincang sedikit dek kerana hujan ribut dan halilintar yang sabung menyabung. Kalau sekadar hujan semata tidak mengapa. Tapi, ini ditambah dengan petir sekali harung. Nasib penganjur tangkas dan cemerkap dengan menyarankan kami berteduh di sebuah dewan khas sementara menunggu hujan ribut reda.
Untuk aktiviti hari kedua pula, pelbagai aktiviti, bengkel, persembahan yang kami ikuti. Sedikit selingan seperti di dalam gambar. Dan banyak lagi yang ku kira tidak sempat untuk bergambar sebab terkejar-kejar dengan jadual- jadual aktiviti.
Dapatlah merasa sertai beberapa aktiviti lasak yang jarang dibuat. Dan bengkel-bengkel yang dianjurkan seperti survival mode, persediaan untuk kecemasan, bag out of bag, adalah sesuatu yang baru. Mereka hanya sekadar berkongsi perkara asas. Tapi, perlunya ke kelas untuk dapatkan lebih terperinci tentang sesuatu ilmu seperti ini.
Sekian.