Badai mendatang tanpa diduga. Pengalaman benar mengajar erti kepayahan.
N.H, Jun 2023
Episod 1: Campsite The Woods
Sebelum ini, pengalaman aku camping atau berkhemah hanyalah beberapa jam di sesuatu kawasan tertentu. Contohnya, di pesisir pantai atau berdekatan sungai-sungai kecil. Kebiasaannya, aku hanya buka dan pasang khemah tanpa tidur semalaman. Kiranya, pasang khemah untuk perlindungan dari terik mentari semata. Itu pun pasang khemah bukanlah aku yang setup, tapi orang lain. Jadi, ini pengalaman pertama kali aku camping secara duo bersama teman rapat di satu tapak perkhemahan The Woods. Lokasinya di Ulu Yam, Selangor. Yang pasti perkhemahan kali ini, kami setup dengan titik peluh sendiri.
Aku pilih lokasi ini sebab banyak review yang menarik. Yang pasti, buat lebih tertarik adalah berdekatan dengan sungai dan mudah untuk akses kepada fasiliti solat, dan tempat mandi. Lagi pula banyak tapak-tapak yang boleh dipilih sendiri. Aku follow di IG twolittlecampers sebelum ni yang banyak review campsite yang menarik di kawasan Selangor.
Pada tarikh 3 hingga 4 Jun 2023, kami merancang berkhemah selama 2 hari 1 malam. Dan, aku hubungi Puan Siti di talian [No. Tel: 019 244 5312]. ** Sila hubungi untuk maklumat lebih terperinci.
Bermula dari sini, harga campsite berdasarkan saiz khemah dan jumlah orang. Jadi, khemah kecil seperti kami bersaiz S, campsite berharga RM60 untuk dua orang. Waktu check-in bermula 10 pagi dan waktu check-out tamat pada 3 petang. Di bawah adalah contoh tapak Zone 1, Area 5 yang kami pilih. Memang dekat sungguh dengan sungai. Dan ada beberapa lagi zon-zon lain.
Awalnya memang gembiralah nak camping kan. Persiapan awal pun dah dibuat. Aku tak beli khemah. Aku hanya sewa khemah dengan raif_camp yang buat sewa pelbagai peralatan perkhemahan. Kami ambil khemah yang kecil, muatlah untuk dua orang cuma. Dan barang-barang lain aku dan kawan bawa sendiri. Ada yang beli baru dan ada yang guna pakai apa yang ada di rumah. Antara benda asas yang dibeli adalah kerusi, meja lipat, flysheet, groundsheet, dapur, gas memasak, lampu dan kipas. Semuanya dibeli dari Shopee dan Lazada sahaja. Boleh rujuk Keperluan Asas dan Tips Pertama Kali Camping Untuk Beginner.
Jarak perjalanan mengambil masa 50 minit dari Bukit Gasing, di mana kami hiking terlebih dulu sebelum pergi ke tapak perkhemahan tersebut. Kami sampai di sana jam 11.30 pagi, buat pendaftaran, parking kereta yang tak jauh dari tapak camping dan diberi sedikit pencerahan tentang kawasan. Kemudian, kami mula setup site di waktu panas terik mentari. Fuh, memang panas. Memang terbakar juga kulit terasa bahang dek pancaran matahari. Tapi, apakan daya, kami gagahkan juga. Sambil pasang, sambil sembang dan belajar cara-cara untuk setup khemah untuk pertama kalinya.
Aku bawa flysheet sebagai alat teduhan dan tempat untuk kami memasak dan bersantai. Bayangkan, ini pertama kali, semua kami pasang sendiri. Memang agak susah dan payah. Bukan sesuatu yang mudah untuk beginner macam kami. Demi sebuah pengalaman, kami buat juga sampai jadi. Jadi, lokasi khemah berada betul-betul di bawah pohon rendang. Teduhan yang bagus daripada sinar matahari secara langsung.
Semasa asyik kami pasang, datang seorang kakak ni, datang menyapa. Masih muda. Datang berkhemah dengan keluarga musim cuti sekolah katanya. Bawa anak-anak. Haritu adalah hari terakhir mereka di situ setelah 3 hari bermalam. Campsite kami bersebelahan. Memang bukan calang-calang khemahnya. Besar dan gah lah. Aku kira, memang bukan pertama kali camping kakak ni. Dia pun offer untuk tolong kami pasang flysheet. Mungkin tengok kami bersusah payah berhempas pulas memikirkan cara dan teknik pemasangan kut. Atau mungkin sekadar cara menyapa itu adalah sebuah pertolongan. Jadi, bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Kami terima sajalah.
Di sinilah bermulanya teknik-teknik cara mengikat tali dengan baik dan sempurna daripada orang yang lebih berpengalaman. Belajar sesuatu yang baru. Dan dapatlah sambil tu dengan pengalaman dan cerita-cerit mereka. Bukan kakak sorang tu je yang ajar. Sekali dipanggilnya suami dan anak-anak lelaki turut menolong. Alhamdullilah, lega juga lah. Pengalaman pertama yang memilukan dan sebuah pertolongan yang mengembirakan dan bermakna. Dapat tahu dan tambah ilmu baru. Kalau tak ada orang berpengalaman macam mereka, kami masih boleh pasang dan tegakkan flysheet. Yang beza cuma cara mengikat dan menyambung tali lebih kepada amatur lah lagaknya nanti. Tidak sampai satu jam (Jam 1 tengah hari) memang sudah siap terpasang semua.
Maka, eloklah kejadiannya seperti dalam gambar setelah pasang kesemuanya berserta lampu-lampu walaupun hari belum menjengah malam. Nampak biasa, tapi agak okay jugalah untuk beginner seperti kami. Kan?
Dan, kami pun mula memasak untuk makan tengah hari. Setup mampu milik ni agak murah dengan pembelian gas dan dapur mudah alih berharga kurang dari RM40.
Makan tengah hari ala kadar untuk alas perut di siang hari. Ini sahaja yang kami mampu masak, dek kerana kepenatan setelah hiking di waktu pagi dan setup campsite bertemankan terik mentari yang menusuk menjamah kulit. Berbekalkan perapan dari rumah, tersangatlah mudah dan cepat disiapkan.
Perkhemah duo yang hanya baru beberapa jam ni memang agak memenatkan. Selesai makan, kami duduk santai-santai dengan menikmati air teh sejuk sambil melayangkan pandangan menikmati pemandangan sekitar. Desiran air sungai yang menjamah telinga memang tenang dan mendamaikan. Kami borak panjang dan merancang untuk camping seterusnya.
Rupanya,
Panas tidak sampai ke petang.
Turunnya rintik-rintik hujan rahmat memang cukup menenangkan jiwa. Mendamaikan.
Tapi…
Bukan sekadar hujan biasa. Ini hujan yang didatangi dengan angin ribut. Sungguh, kami tak sangka diterjah badai sebegini.
Kami cuba juga untuk bertahan dalam ribut yang panjang. Kami pegang dan tahan flysheet yang hampir ranap. Air hujan cukup lebat dan kami basah kuyup. Kami cuba selamatkan barang-barang yang penting sahaja. Ingatkan nak bertahan lagi. Tapi, disebabkan ada pokok yang tumbang di sebelah, kami terus tukar fikiran dan terus naik ke atas. Di mana tempat fasiliti solat dan chalet kecil. kami berteduh di situ dengan basah kuyup dan sejuk menyeliputi tubuh.
Pokok tumbang betul-betul di tapak perkhemahan kakak tadi dan sekeluarga. Mujur mereka dah pulang jam 3 petang tadi. Boleh bayangkan, kalau mereka bermalam lagi semalaman. Memang akan terjadi tragedi berdarah aku rasa. Alhamdullilah tidak ada. Good timing mereka pergi. Bersyukur sangat.
Khemah yang kami sewa tu pula, tidak terlalu waterproof. Memang habis basah sampai ke dalam termasuk segala pakaian dan barang-barang lain. Malang juga nasib. Saat tu juga kami berkemas-kemas dan memang mood dah terbang melayang. Hanya fikir nak balik saja. Sebab semua dah basah. Nak cari tempat mendobi, kami di kawasan hutan pula. Memang tak ada lah. Yang bagusnya tapak perkhemahan Ulu Yam ni, pekerjanya memang betul menjaga. Masa kejadian ribut nampak juga lah mereka mundar mandir memantau kawasan. Kami diberi chalet kecil untuk bermalam. Dan beberapa orang yang senasib dengan kami juga dapat juga bilik kecil. Malam tu juga kami balik sebab dah tiada pakaian yang boleh dipakai dek kebasahan.
Kadang perkara indah adakalanya berakhir dengan satu tragedi. Hidup tak selamanya monokrom semata. Pasti ada warna-warni. Ada hitam. Ada kelabu. Ada putih. Takut di hati itu pasti wujud. Cuma janganlah serik. Ini sekadar pengalaman baru.
Sekian.