Dalam post kali ini, aku akan ceritakan pengalaman dan trip hiking ke Rawang Bypass Trail pada 31 Ogos 2022 tahun lepas. Jadi, kami memilih di kawasan Selangor sahaja kerana lebih dekat, dan kawasan ini agak popular juga dikalangan pendaki.
Awalnya nak mendaki secara santai dan dapatkan pemandangan yang cantik nan indah. Selain dapatlah aku kibarkan bendera jalur gemilang di Hari Kemerdekaan Malaysia. Trail hikihg ini dikira masih di tahap sederhana dengan jarak lebih kurang 3km dan mengambil masa 90 minit untuk naik dan turun. Dengar mudah kan?
Apa Yang Menarik Tentang Rawang Bypass?
Kalau anda nak tahu, Rawang Bypass adalah lebuhraya paling tinggi di Malaysia. Baru dibina pada tahun 2005 yakni berjaya disiapkan tahun 2017, hampir 12 tahun. Jarak perjalanan 10km adalah pintasan laluan dari Rawang ke Serendah, Selangor. Lebuhraya yang berjaya dipendekkan jaraknya hampir 2 jam. Antara keunikan yang lain adalah ketinggiannya mencecah 58.2meter dari aras tanah dengan struktur berliku-liku terserlah cantiknya, dan bebas tol.
Sedikit sebanyak ringkasan tentang wujudnya lebuhraya ini dan pendakian aku kali ini bersama rakan yang kerap kali megajak aku membuat aktivit-aktiviti luar.
Jadi kami sampai agak lewat pada jam 9.15 pagi. Seeloknya mendaki lah seawal pagi untuk dapat view sunrise yang cantik. Paling tidak kabus tebal yang sejuk mata memandang. Agak mencabar juga nak sampai sini. Sebaiknya jangan sesekali waze tepat ke rawang bypass trailhead. Memang akan sampai tepat di atas highway tu. Naya. Tak silap aku ada dua trail.

Kalau ada simbol berwarna-warni begini, ini adalah tempat carpark yang baik sebelum mula mendaki. Sebelum naik, aku dan kawanku buat regangan satu badan dahulu untuk mengelak kekejangan otot. Dan kami melalui jalan kecil. Jalan bertar sebelum naik mencacak.



Akan jumpa tokong cina yang kecil bewarna merah ini. Tepat di sebelah kanan perjalanan.
Kemudian, ikut laluan trail sampai jumpa satu tebing dan banyak batu-batu besar. Kami turun di sini menggunakan tali yang tersedia.

Tidak sampai 15 minit perjalanan kaki, ada beberapa landmark yang boleh dijumpai dek kerana trail yang kurang jelas di awalnya. Kalau nampak tanda-tanda di bawah ni dikira tak sesatlah ya.


20 minit kemudian, akan kelihatan tembok bata yang besar, dan lalu di sepanjang laluan ini.

Seterusnya, akan melalui terowong kecil dan sungai kecil bertangga. Masa masuk terowong, anda akan dikerumuni burung-burung atau kelawar yang betenggek di dinding atau bumbung terowong. Kami syak itu kelawar. Sebab kalau burung mesti dah terbang bila kami lalu. Di sini hati-hati lah, kena menundukkan kepala sikit kerana terowong agak rendah. Laluan sungai kecil memang buat kasut akan basah dan pastikan tidak tergelincir ketika melalui kawasan ini.



Seterusnya, akan jumpa pit stop sebelum hike ke atas. Boleh berehat sekejap di sini setelah kepenatan. Trip kali ni agak unik, walaupun nak ke puncak atas hanya 45 minit dalam anggaran.


Semakin mendaki ke atas memang berasa 60 hingga 70 darjah mencacak lagaknya. Trailhead yang tersedia tali memudahkan para hiker untuk berpaut sehingga ke atas. Start di sini sudah semakin meninggi dan menguji kekuatan otot peha dan kaki.
Kami berdua sampai ke puncak pada jam 10.15 pagi. Subhanallah.. cantik sungguh pemandangan dari atas. Memang nampak dengan jelas Lebuhraya Rawang Bypass dan ketinggiannya. Kami ambil gambar dan terus bersarapan pagi sambil meneroka semesta yang indah.



Trail hiking paling mudah mengambil masa 45 minit untuk ke puncak, unik dengan jalan liku-liku, terowong pendek, sungai kecil dan mencacak memberi kepuasan yang berbeza tatkala dah sampai puncak. Sangat sesuai untuk hikers beginner untuk cuba.
Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 65 tahun, tak perlu kami kibarkan jalur gemilang. Cukup bendera Malaysia sudah gah di puncak sana menyaksikan pendakian kami. Sekian.