Bagi yang gemar melancong, dan berhajat untuk bercuti di luar negara pertama kali boleh lah memilih Indonesia, Thailand atau Brunei. Sama seperti kami yang beragama Islam untuk mencari makanan yang halal. Lebih murah, mudah, dan senang didapati.
Jadi, kami memilih Thailand untuk bercuti iaitu ke Hat Yai. Mudah untuk mendapatkan makanan halal kerana kebanyakannya penduduk adalah Muslim beragama Islam. Dan disebabkan lokasi Hat Yai tidak terletak jauh dari sempadan Malaysia, akses pengangkutan untuk ke sana mempunyai banyak pilihan. Misalnya, anda boleh memilih jenis pengangkutan bas, keretapi ETS atau flight penerbangan. Malahan, anda juga boleh memandu sendiri. Jadi, untuk trip kali ini kami menaiki pengangkutan darat.
Pengangkutan, Penginapan & Perlindungan Diri
Percutian ke Thailand adalah pada Ogos 2022 untuk duo travel. Pertama kali juga buat aku. Beberapa minggu sebelum trip, kami buat perancangan terlebih dahulu. Pengangkutan dan hotel kami tempah melalui https://www.easybook.com/en-my . Setelah membuat perbandingan harga dan jarak ke destinasi yang ingin dituju, bas dipilih adalah kerana kami mahu sampai di Hat Yai seawal jam 8 pagi waktu Thailand. Kami memilih untuk menaiki bas dari TBS dan pulang menaiki keretapi ETS dari Padang Besar (sebelumnya menaiki van dari Hat Yai). Harga bas Alisan adalah RM76.50 untuk seorang dan selesa dengan seat yang sangat luas. Mungkin anda boleh mencuba bas pengangkutan lain, tapi Alisan is the best setakat ini dari segi keselesaan. Perjalanan malam 10.30pm setelah habis bekerja sememangnya agak memenatkan. Kami hanya tidur sepanjang perjalanan. Sebelum sampai sempadan, kami turun di Bukit Kayu Hitam untuk semakan Imigresen di Malaysia. Dan setelah melepasi sempadan, semakan Imigresen di Thailand pula.


Hari Pertama
Kebiasaannya, pemandu bas akan turunkan penumpang di deretan kedai yang mudah diakses pengangkutan tambahan. Kami menaiki Tuk Tuk untuk buat pertukaran wang (seeloknya, buatlah pertukaran wang terlebih dahulu semasa di Malaysia). Jangan jadi seperti kami terpaksa berhutang sekejap dengan pemandu Tuk Tuk untuk membeli SimCard sekitar 32.5 Baht kira-kira RM4.23 (berdasarkan mata wang ketika itu; 1 Baht = RM0.13) untuk aktifkan Wifi dan talian di Thailand. Seterusnya, kami bergerak ke hotel penginapan. Untuk ke hotel charge Tuk Tuk dikenakan dalam 60 Baht kira-kira RM7.80 untuk 2 orang. Sebenarnya anda boleh dapat lagi murah 40 Baht (RM5.20) daripada pemandu Tuk Tuk yang kami kenal selepas itu. Tapi, disebabkan masih baru, kami grab saja apa yang ada depan mata ketika itu.
Bagi penginapan pula, Good Dream Premier adalah pilihan terbaik dengan harga RM239 untuk 3 hari 2 malam bagi penginapan 2 orang. Bilik ini memang luas dan kami memilih King bedroom untuk lebih selesa. Disebabkan kami sampai seawal 8.30 pagi dan waktu check in hotel adalah jam 2 petang, kami terpaksa simpan sementara luggage dan barang-barang di lobi hotel. Mujurlah staff di situ semua ramah tamah dan mesra belaka.

Seterusnya, kami memilih untuk pergi breakfast di sekitar kawasan tidak jauh dari hotel. Dari sini kami ambil Tuk Tuk dari seorang uncle sebagai pemandu. Katanya service nya lebih murah jika nak dibandingkan dengan Tuk Tuk lain. Setiap perjalanan 40 Baht (RM 5.20) untuk 2 orang. Uncle ni memang selalu ada sekitar hotel Good Dream Premier.

Pemandangan jalan raya kecil Hat Yai.


Tak sah kalau tak ada Iced Thai Tea dan Tomyam. Kedua air ini boleh dapat dalam 50 Baht (RM6.50) & boleh dapatkan di gerai sebelah berdekatan dengan Kedai Tomyam Kaitoddecha Hatyai. Ternyata ini bukan lah makan pagi seperti yang dirancang. Kami terus order untuk makan tengah hari sekaligus. Jumlah harga sekitar 389 Baht (RM50.57) untuk dua orang makan. Di sini semuanya halal dan senang untuk order, sebab menunya ada dwibahasa.
Setelah perut penuh, kami berjalan kaki ke Kim Yong Market. Tempat begini wajib anda singgah. Boleh lah membeli ole-ole kekacang, dry fruit, asam dan macam-macam lagi. Lama kami di sini. Harga pun boleh tahan murah jika nak dibandingkan dengan Malaysia. Macam harga borong betul.
Memang rambang mata kalau di sini. Apa-apa pun memang tempat terbaik nak bawa balik ole-ole untuk keluarga dan kawan-kawan.

Setelah puas memborong, kami terus ambil Tuk Tuk untuk ke Good Dream Premier hotel setelah mendapat panggilan dari staff yang kami boleh check in awal dari biasa. Kami ambil masa untuk rehat, solat dan tidur.
Pada jam 5 petang kami berdua manfaatkan masa dan ambil Tuk Tuk dari orang yang sama untuk ke Cheevit Cheeva. Satu kafe yang terkenal dengan keunikan dan design cafe yang menarik. Memang tak sah kalau sehari tanpa kopi. Hehe. Ini antara list kafe yang kami rancang dan disarankan untuk singgah.


Jadi, jumlah harga untuk menu sebegini sekitar 435 Baht (RM56.55). Harganya lebih kurang kebanyakan kafe di Malaysia.

Seterusnya kami berjalan kaki di waktu petang untuk ke Wine Village. Untuk ke sini, perjalanan kaki lebih kurang 15 ke 20 minit. Di sini, bolehlah bergambar oleh kerana pemandangan bangunan-bangunan yang cantik.

Bila tiba malam, kami singgah di Asean Night Market. Di buka antara jam 4.30 petang ke 10 malam. Memang syurga makanan. Luas dan agak sesak dengan para pengunjung lain. Night market ini ibarat bazar yang besar di Malaysia. Cuma, di sini dua tingkat tingginya dan lebih banyak makanan yang kita jarang jumpa di negara kita. ramai yang gemar ke sini kerana pilihan makanan yang pelbagai dan sangatlah murah.


Hari Kedua
Pada hari kedua, kami booked sebuah Tuk Tuk untuk seharian dengan 1200 Baht (RM156.00) untuk 2 orang. Anda boleh bandingkan harga perkhidmatan grab kalau mahu lebih murah. Kebanyakan destinasi yang kami tuju agak jauh dan memakan masa satu jam untuk menghala ke lokasi Songkhla. Sepanjang perjalanan banyak tempat juga yang kami singgah dan banyak tempat boleh diterokai. Songkhla adalah sebuah bandar yang menjadi tempat tumpuan pengunjung. Dalam perjalanan, kami singgah untuk breakfast di satu Restoran Sultan Roast Duck. Pertama kali melangkah masuk, pelayan restoran kurang fasih berbahasa Melayu. Jadi bila nak order makanan jadi susah juga. Dapat pula menu tulisan Thai, jadi kami terpaksa menggunakan aplikasi Google Lens untuk translate ke bahasa yang lebih mudah kami faham. Ini antara menu yang disarankan oleh pekerja restoran itu. Harga sekitar 130 Baht (RM13.00) untuk 2 orang makan. Agak murah dan sedap dek keharuman daging itik.

Setelah sarapan di Hat Yai, kami terus bergerak ke Songkhla. Bandar Songkhla mengambil masa 45 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan kami melalui 3D Magic Museum dan singgah di Hatyai City Municipal Park. Di sini pemandangannya sesuai untuk bergambar sebagai kenangan. Kebanyakannya, view scenary agama Buddha iaitu tokong-tokong yang besar dan memang tempat beribadat penduduk yang beragama Buddha.

Sesampai kami di Songkhla, kami singgah dahulu di Samila Beach dan meneroka pantainya. Waktu ini matahari sudah mencacak langit, di waktu terik mentari terasa bahangnya menusuk kulit. Lautnya luas dan lebar. Sekitar sini mudah untuk dapatkan restoran-restoran yang halal juga.


Setelah itu, kami lanjutkan perjalanan ke Tung Kuan Hill & Laem Pho Temple. Di Tung Kuan Hill, pemandangan dari atas bukit dapat dilihat dengan jelas laut terbentang luas dan bangunan-bangunan sekitar bandar Songkhla. Attaractive area untuk bergambar. Dan kami akhiri hari kedua dan singgah di Khlong Hae Floating Market. Tempat ini adalah tempat tujuan utama yang perlu anda tuju oleh kerana daya tarikan dan cara orang tempatan berniaga sangat berbeza sekali. Di atas sampan kayu sambil menjaja. Floating market dibuka seawal jam 4.30 petang. Persekitarannya, ragam orang jual beli, dan pelbagai juadah dan makanan kebiasaan orang Thailand dikunjungi oleh segenap tourist seantero dunia.



Hari Ketiga
Untuk hari terakhir, kami lebih banyak shopping barang di deretan kedai sekitar Kim Yong Market. Dan mencari makanan yang rare di Thailand, semestinya halal. Awal pagi, kami breakfast di restoran berdekatan iaitu Hamid Restoran. Di sini lagi mudah untuk dapatkan makanan pagi macam di warung Malaysia. Roti canai, nasi goreng, nasi lemak, teh tarik semua pun ada. Harga pun agak berpatutan juga.

Pilihan makanan ala-ala tempatan Malaysia.

Seterusnnya, kami berjalan kaki ke 7E Thailand. Digalakkan anda untuk singgah di store yang lebih besar kerana lebih banyak pilihan makanan dan barang kosmetik. Tetapi berhati-hati lah bagi yang beragama Islam. Kebanyakan makanan bercampur halal dan tidak halal di dalam satu chiller misalnya. Selalulah peka dan baca dengan teliti ramuan di setiap packaging makanan sebelum membeli. Disarankan menggunakan Google Lens untuk translate ingredient sebagai rujukan.


Antara hasil yang kami dapat sebab harganya agak murah. Contohnya harga air susu meiji banana 450mL di Malaysia dalam lingkungan RM7.50. Tapi,di Thailand anda boleh dapat dalam 20 Baht (RM2.60). Memang murahlah. Tapi kami tak membeli banyak, terfikir susah nak angkut barang untuk bawa pulang. Ini kalau bawa kereta sendiri, agak penuh bonet gayanya. Haha.
Rugi jika tidak singgah di Cafe Amazon, lebih-lebih lagi untuk para penggemar kopi. Cafe Amazon sememangnya main of coffee store di Thailand. Ibarat Malaysia ada Zus Coffee. Setakat ini belum ada lagi cawangan Cafe Amazon di Malaysia (berdasarkan trip bulan Ogos 2022).



Akhir sekali kami pulang dengan menaiki mini van di Stesen Van berdekatan hotel. Anda boleh pilih mahu berjalan kaki atau naik Tuk Tuk untuk ke stesen. Perjalanan pulang menuju ke Padang Besar mengambil masa 1 jam sebelum kami menaiki ETS train untuk ke KL Sentral. Dari KL Sentral, boleh ambil LRT atau KL transit untuk ke TBS. Sekian untuk perjalanan yang penat dan menyeronokkan.
Good information n menarik..